Antara Bosan dan Cabaran


Jika diberi pilihan, manakah emosi yang anda ingin miliki?

Bosan atau Cabaran (tekanan, kecewa, etc) ?

Sedar atau tidak, kita sering melalui dua jenis emosi di atas dalam sebahagian besar kehidupan kita. Hanya sebahagian kecil hidup ini melalui episod-episod suka dan gembira. Tanyalah kepada sesiapa sahaja, pastinya sedang menghadapi masalah sama ada kecil atau besar. Tiada manusia di dunia sentiasa ceria dan gembira kerna inilah sebuah kehidupan sementara.

Bosan atau cabaran? Manakah pilihan anda?

Jika berasa bosan, bererti kita sedang meniti jalan yang selesa dan lurus. Justeru perubahan diperlukan agar ia dapat memberikan kegembiraan. Lihat senario dibawah bilamana perasaan bosan menghantui:-

Bila seorang bujang bosan, dia akan mencari pasangan untuk berkahwin
Bila seorang graduan bosan menggangur, dia akan mencari kerja
Bila seorang pekerja bosan dengan kerjanya sekarang, dia akan berusaha menukar kerjayanya.
Bila seorang berpendidikan ijazah bosan, dia akan berusaha untuk menyambung pelajaran.

Sedar atau tidak, jalan keluar daripada dibungkam perasaan bosan adalah berliku. Tidak lagi selesa. Pastinya jalan ini mendapat kegembiraan pada permulaanya. Tetapi jangan lupa ia turut menuntut pengorbanan dan cabaran emosi seperti tekanan, sedih, kecewa pada pertengahannya.

Perasaan bosan menunjukkan anda sedang berada dalam zon selesa. Bagi mendapatkan suntikan kemanisan dan kegembiraan dalam kehidupan, sudah pasti kita perlu keluar daripada landasan yang selesa dan lurus kepada landasan yang berliku. Namun begitu, kita sering lupa jalan berliku ini bukan sahaja menjanjikan kegembiraan tetapi turut menuntut cabaran emosi seperti tekanan,kecewa, marah dan air mata.

Jadi jika kita hari ini atau ketika ini atau detik ini berasa tekanan, kecewa, atau hilang punca, bersyukurlah kerana kita kini berada di landasan berliku. Landasan yang menuntut perubahan diri. Landasan yang insya-Allah menemui kebahagaian jika betul niat dan strateginya. Pastinya berjihad di jalan berliku bukan mudah. Tetapi jika anda telah memilih jalan ini, anda tiada pilihan untuk menoleh kebelakang. Bergeraklah selagi mampu. Teruskan berlari. Jika tidak mampu, berjalanlah. Jika tidak mampu, menapaklah. Jika tidak mampu, merangkaklah. Terokalah jalan-jalan penuh liku ini dengan rasa syukur kepadaNya kerana anda telah memilih dan dipilih untuk melalui jalan ini. Sedarilah bahawa hanya jalan ini akan memberi anda kebarangkalian menemui momen-momen bahagia dan indah.

Bandingkan kehidupan anda jika terus menerus memilih jalan selesa dan lurus. Pasti bosan, bosan dan bosan. Justeru kepada sesiapa yang bosan, mulakan langkah untuk menukar haluan kepada jalan berliku. Tetapi, beringat sebelum membuat keputusan. Jika tidak, terimalah kebosanan sebagai hari-hari kehidupan kerana ia lebih baik. Walau tiada gembira, ia tetap baik jika kita belum bersedia. Jalan berliku tidak semudah disangka. Jika anda membuat keputusan untuk menukar haluan kepada jalan berliku, prinsip yang perlu dipegang adalah jangan putus kerana anda tiada pilihan untuk berundur.

Bila berkahwin perlu diteruskkan perkahwinan, jika tidak penceraian berlaku.
Bila menyambung pelajaran, perlu dihabiskkan, jika tidak menemui kegagalan.
Bila mula berkerja, perlu dilakukan segala tugasan, jika tidak diberhentikan/dimarahi.

Inilah kehidupan. Perubahan menuntut pengorbanan. Bersediakah kita melalui jalan berliku atau masih selesa dengan jalan yang lurus? Bosan atau cabaran? Tanya dada, tepuk iman.


**Pictures @ Wollongong Harbour **

Comments

Popular Posts